Thursday, July 01, 2010

Survival Qamar : Hari Ketujuh, 1 Julai 2010

Bismillahirahmanirrahim...

Hari ini, tiada lagi ziarah ke kampung. Pagi itu dimulakan dengan temubual bersama saudara Ismael atau lebih mesra dipanggil Teh.

"Munirah tak mahu temubual sayakah? Saya ini antara hidup dengan mati waktu kena tangkap dulu," ujar Ismael seolah-olah merajuk. Apatah lagi setelah Chu Ya memaklumkan bahawa saudara Aladi dan Ateef berada di Yala dan saya perlu menemubual mereka berhubung himpunan 10 00 orang di hadapan Masjid Jamek Pattani beberapa tahun lalu. Ketika itu saya, Kak Tee, Ismael, Chu Ya dan Romzi dalam perjalanan pulang ke Yala setelah menziarahi dua buah keluarga di daerah Ya Rang.

Saya senyum sendiri mengingatkan peristiwa itu. Sebenarnya, Ismael awal-awal lagi sudah masuk jadual untuk ditemuramah cuma saya letakkan slot itu di kemudian sedikit kerana Ismael sentiasa berada di Yala dan selalu pergi ke pejabat HAP.

Sebelah petang, saya sekali lagi berkunjung ke JISDA sesuai dengan temujanji yang telah saya buat bersama-sama ustaz dari sana.

"Kalau boleh, mungkin pihak Malaysia boleh bantu mahasiswa-mahasiswa di JISDA ini khususnya, dan mahasiswa di tempat lain umum kerana saya melihat mahasiswa ini adalah aset terpenting untuk membantu negeri Fathoni ini kelak," ujar Ustaz Abdul Rahman Bahet, salah seorang tenaga pengajar di JISDA.

Sekali lagi, satu harapan dipanjangkan kepada pihak AMANI. Saya terkedu dalam angguk.


"Ustaz-ustaz yang masuk mengajar selalu cakap, Alhamdulillah, ustaz masih boleh masuk mengajar hari ini," tokok Kak Tee dalam perjalan pulang.

Bukan sahaja menghadapi masalah kewangan dan pengurusan, para tenaga pengajar di jamiat ini turut terancam nyawanya.

Sehari sebelum saya datang, lima orang ustaz dari jamiat berkenaan dipanggil untuk soal siasat.

Perasaan kagum mengalir dalam urat nadi saya mengenangkan kecekalan para tenaga pengajar. Walaupun mereka tahu harga yang perlu dibayar untuk mengajar adalah nyawa dan keselamtan mereka, tidak sedikit pun keinginan untuk menabur ilmu kepada anak bangsa tergugat.

Usai solat Asar, saya sambung menemubual Chu Ya.

Rupa-rupanya, Chu Ya sendiri tidak sedikit pengalaman yang dialami. Dia hari ini juga hidup dengan nyawa kedua. Peluang kedua yang diberikan oleh Allah. Seperti Ismael. Kalau hendak tahu apa kena tunggu buku saya ini keluar...

Sebelah malam sepatutnya saya temubual Huda, namun memandangkan Huda kelihatan agak tidak bermaya, saya tunda kepada hari esok. Sebaliknya, malam itu kami berbual 'lain-lain hal'. Hmm... biar di bumi mana pun, andai perempuan, maka tetaplah perempuan. Rupa-rupanya ada perkara yang sama-sama kami kongsi untuk 'dibimbangi'. hmm... jodoh tentunya...=)

p/s : gambar akan dimuatkan kemudian..=)

No comments: