Bismillahirrahmanirrahim...
Sepatutnya, saya dijadualkan pulang pada hari ini, namun memandang ada beberapa perkara yang masih belum selesai, saya memutuskan untuk pulang pada hari berikutnya.
Hari ini juga genap setahun, seorang ikhwah yang sama-sama belajar di Darul Quran dan Pusat Asasi UIAM meninggal dunia. Nabil Marwan. Al-Fatihah untuk beliau.
Saya menemubual Huda sebelum kami bertolak ke Hospital Yala untuk melawat adik yang terkena peluru sesat beberapa hari sebelum itu.
"Rakyat adalah amanah kita," ujar Huda ketika saya bertanya tentang prinsip hidupnya. Seawal usia 24 tahun, anak gadis ini telah meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala-galanya. Mungkin pengalaman hidup yang mencabar banyak mentarbiyyah peribadi bekas pelajar Thammasat University ini.
Kami terus berkejar ke Hospital Yala kerana waktu lawatan hampir tamat.
Melihat wajah adik Ahlan Cintra, timbul rasa kasihan di dalam diri. Keterujaan untuk belajar terbantut kerana dia terpaksa terlantar di hospital entah sampai bila. peluru di dalam tubuhnya tidak dapat dikeluarkan lagi. Dokotr sendiri masih memikirkan cara terbaik untuk merawat adik yang baru sahaja berusia 13 tahun itu.
Jururawat meminta kami meninggalkan wad ICU memandangkan waktu melawat sudah tamat.
Huda tidak terus membawa saya pulang sebaliknya membawa saya minum ais blended dan berjalan di persisiran Sungai Pattani. Separuh perjalanan baru kami sedar tayar motor sedang nazak teruk.
Sementara menanti Kak Tee sampai, kami berhenti sambil menikmati pemandangan waktu di persisiran Sungai Pattani.
"Pada pendapat Munirah, apa cara terbaik untuk membantu rakyat Fathoni ini?" tanya Huda tiba-tiba.
Saya terdiam. Teringat perbualan ringkas saya bersama-sama para Ustaz dari JISDA.
Saya cuma mengulang kembali apa yang diungkapkan oleh Ustaz Abdul Rahman Bahet. Saya tahu jawapan itu tidak cukup memuaskan.
Kak Tee yang ditunggu-tunggu tidak juga sampai. Akhirnya, Huda membawa motor perlahan-lahan dan kami tiba juga di pejabat HAP.
Adik Mubin dari Kampung Kuching Lepas telah lama menanti. Petang itu, saya mengambil data berhubung bagaimana Kampung Kuching Lepas dilabelkan sebagai kawasan merah daripada adik Mubin yang kini belajar di Ramkhaeng Universiti di Bangkok.
Sebelah malam, sekali lagi saya menjadi pelawat di Hospital Yala. Sebenarnya waktu melawat sudah hampir tamat tapi Kak Tee berkeras juga hendak pergi.
Teringat sebuah kisah yang saya baca di dalam Majalah Solusi terbaru.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa suatu Hari Rasululah SAW bertanya kepada para sahabatnya yang bermaksud;
"Siapakah di antara kalian yang berpuasa hari in?"
Abu Bakar menjawab, "Aku."
"Siapakah yang hari ini memberi makan kepada orang miskin?" Rasulullah bersabda lagi.
Abu Bakar menjawab lagi, "Aku."
"Siapakah hari ini menziarahi orang sakit?" Rasulullah SAW bersabda lagi.
Abu Bakar menjawab untuk kesekian kalinya, "Aku."
Rasulullah SAW lalu bersabda, " Tidaklah semua amalan ini berada pada diri seseorang melainkan ai akan masuk syurga."
Kali ini saya dapat melihat bertapa sesaknya kawasan hospital sampai katil-katil pesakit turut ditempatkan di koridor jalan. Pesakit yang semenangnya sedia sakit bertambah sakit.
Kami melawat adik kepada Kak Halimah yang terlantar sakit.
Melihat mereka yang terlantar sakit, terasa nikmatnya kesihatan yang Allah kurniakan buat diri. Bertapa berharganya nimat sihat.
Lebih menyayatkan hati lagi Dik Aisyah terpaksa menunda keberangkatan ke Mesir bagi menyambung pengajian kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.
Ketika melihat batuknya bercampur darah, Dik Aisyah nampak cemas. Dia meruntun-runtun ibunya seperti anak kecil. Takut dan segala macam perasaan bercampur baur dalam hatinya barangkali. Kita yang melihat ini pun tidak tertanggung apa lagi tuan badan. Apa pun semoga Dik Aisyah cepat sembuh. Sama-sama kita doakan.
Saya berkemas-kemas malam itu sebaik sahaja pulang dari hospital dan makan serta solat Isyak memandangkan awal pagi esok saya akan pulang. Saya berkemas dalam keadaan bimbang. Bimbang esok saya tiba di KL sayup malam sedang saya musafir bersendirian.
P/s : Tidak pasti adakah saya yang bermasalah atau komputer ini atau internet tetapi gambar masih tidak berjaya dimuatkan. Insya-Allah akan diusahakan lagi selepas ini..=)
No comments:
Post a Comment