Thursday, July 15, 2010

Menyingkap Ibrah Dari Perca-Perca Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim...

Peristiwa 1

“Impian Akak, akak mahu berkahwin dengan seorang lelaki yang menafkahkan dirinya sepenuh masa untuk perjuangan. Sementara akak akan berusaha untuk menjana pendapatan sendiri untuk menampung keluarga kami. Titik. Apa yang akak mahu daripada suami akak adalah benih yang baik agar dari rahim akak akan lahir pejuang-pejuang dan anak-anak yang soleh,” ujar Kak Lillah ketika kami masing-masing menceritakan impian kami sewaktu dalam perjalanan menuju ke bandar Yala.

Saya terpempan. Ini kali pertama saya mendengar seorang wanita bercita-cita sedemikian rupa dalam hidup saya. Langsung saya teringatkan Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah SAW.

Peristiwa 2

Melihat kepada keperibadian Kak Lillah, saya jadi teringin untuk bertemu dengan ibunya. Alhamdulillah hajat itu Allah sampaikan saat sebelum saya bertolak ke Selatan Thai akhir bulan Jun lalu.

Ternyata ibu kepada Kak Lillah bukan suri rumah biasa-biasa melainkan dia mendidik anak-anaknya dengan memimpin tangan mereka meniti jalan ke syurga.

"Sanggup emak melihat anak emak menjadi janda?"suara saya bercampur sebak."Sanggup! Emak bukan setakat fikirkan masa depan anak emak sahaja.. tetapi emak fikirkan masa depan cucu-cucu emak, zuriat emak... Biarlah darah yang mengalir tu darah orang-orang yang mati berjuang kerana Allah."

Sekali lagi rasa seperti berhenti dengupan jantung saya saat membaca kalimah-kalimah di atas dari blog Kak Lillah.

Langsung saya teringat kepada Al-Khansa, ummu syuhada yang menangis saat keempat-empat anak-anaknya syahid di medan Qadisiyyah. Dia menangis. Orang ramai menyangkakan dia sedih kerana kehilangan semua anak-anaknya sebaliknya dengan tenang Al-Khansa menjawab “ Aku menangis kerana tiada lagi anak yang dapat kuhantar ke medan perang berjihad!”

Peristiwa 3

Saya melihat mereka begitu akrab. Lebih daripada sekadar seorang sahabat dengan sahabat. Sungguh luar biasa. Kadang kala mereka berbual lewat telefon bimbit ketika manusia sudah lama masuk beradu. Sedang wanita yang menjadi kawan kepada sahabat saya ini sudah berkeluarga. Lima anaknya. Sahabat saya ini juga akrab dengan anak-anak wanita berkenaan.

Akhirnya suatu hari saya dimaklumkan oleh sahabat saya akan berkahwin. Gembira bukan kepalang saya. Dan apabila saya tahu siapa bakal suaminya, saya terkesima. Dia bakal bermadu dengan wanita yang begitu akrab dengannya.

Dan apa yang membuat saya lebih terkesima isteri pertama itu yang menjadi orang tengah antara sahabat saya ini dengan suaminya. Seorang wanita yang melamar wanita lain untuk menjadi isteri kepada suaminya sedang dia tidak punya apa-apa kekurangan. (Kak ini cantik dan lemah lembut orangnya juga sudah punya lima anak).

Peristiwa 4

“Mek akan terus perjuangkan kes ini sehingga akhir nyawa mek. Mek mahu mereka tahu yang orang kampung seperti kami ini tidak lemah. Ada ketika dan masanya, kami akan bangkit untuk membela apa yang sememangnya menjadi hak kami,” ujar isteri mulah Imam Jaafar Kaseng tatkala saya dan beberapa sahabat dari Fathoni menziarahi rumahnya di Kampung Kuthor, Daerah Jabat, Wilayah Narathiwat.

Imam Jaafar Kaseng ditemui meninggal dunia sewaktu berada di dalam kem tawanan sedangkan ketika itu beliau belum terbukti bersalah kira-kira dua tahun lalu.

Nik Mah, isteri mulah baru menginjak usia 50 tahun. dia wanita biasa yang tidak pernah pun memijakkan kaki di mana-mana university. Namun, semangat dan cita-citanya tidak menggambarkan bahawa dia adalah wanita yang biasa-biasa.

Sekali lagi mata dan telinga saya menjadi saksi akan ungkapan seorang wanita yang bukan biasa-biasa.

Peristiwa 5
“Munirah, saya ada sedikit hajat,”
“Apa?” tanya saya berdebar.
“Munirah, saya akan ke Gaza Ramadhan ini. Juseru ada dua kemungkinan. Sama ada saya akan pulang dengan selamat atau sebaliknya. Andai saya tidak ditakdirkan pulang, tolong tuliskan pengalaman-pengalaman saya ini. Saya mahu bukukan pengalaman hidup saya agar menjadi ikhtibar untuk mereka yang mahu mengambil ibrah daripadanya,”
Saya terkesima.
“Saya akan bernikah sebelum Ramadhan ini. Sebenarnya Munirah saya menikah dengan pemuda ini kerana mahu membantu dia mencapai apa yang dia cita-citakan. Dia mahu ke Gaza dan ibubapanya telah memberikan dia beberapa syarat. Semua syarat lain dia telah penuhi melainkan syarat ini yakni menikah. Justeru saya mengambil keputusan untuk bernikah dengannya dan menemaninya ke sana. Munirah saya mahu umat Islam seluruhnya mengambil pengajaran. Apabila agama kita perlukan harta, maka kita berikan harta dan apabila agama kita perlukan nyawa maka kita berikan nyawa,” lanjutnya lagi.
Ya Allah! serasa mahu mengalir air mata saya saat itu.

Sekali lagi telinga saya ini Allah pilih untuk mendengar impian seorang wanita yang luar biasa.
Langsung saya teringatkan Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Thalhah dengan maharnya adalah keislaman Abu Thalhah sendiri. Tidak lain niat Ummu Sulaim bernikah adalah kerana agama.

Seketika saya duduk. Merenung kembali apa yang telah didengari oleh telinga dan disaksikan oleh mata. Saya terfikir-fikir, benarkah ini adalah satu kebetulan?

Ah! Saya tidak harus lupa bahawa kebetulan itu adalah sebahagian daripada percaturan Allah. Hakikatnya kebetulan itu adalah sebahagian daripada takdir. Tiad sehelai daun pun yang gugur ke bumi tanpa Allah mengetahuinya.

Adakah sengaja Allah memilih telinga dan mata saya untuk menjadi saksikan kepada semua ini?
Saya yakin tidak.

Sudah tentu Allah mahu saya menyingkap ibrah dari pengalaman-pengalaman hidup mereka ini saat telinga, mata dan jiwa saya dipilih untuk menyaksikan perca-perca hidup insan-insan hebat ini. Apatah lagi mereka adalah kaum hawa.

Lalu saya memasang azam, andai menjadi anak, saya mahu menjadi seperti Fatimah Az-Zahra. Andai menjadi isteri saya mahu menjadi seperti Siti Khadijah. Andai menjadi ibu saya mahu menjadi seperti al-Khansa.

Sungguh indah Allah mentarbiyyah saya. Dia membuka peluang kepada saya untuk menyingkap ibrah dari kehidupan orang lain. Tidak lain dan tidak bukan agar dapat saya anyaman menjadi hamparan sepanjang meniti kehidupan yang masih bersisa.

Ada yang mengadu kehidupan ini meletihkan.

Sungguh. Kehidupan ini meletihkan. Letih kerana ada sedemikian banyak ibrah yang Allah bentangkan buat kita hamba-hambaNya untuk disingkap. Renungan bersama…











1 comment:

siti fatimah bt abd.ghaffar said...

Subhanallah,tersentuh dgn kisah2 yg kak mun kongsikan.Allahumma amin,mudah2an kita jg dikurniakan kudrat dan semangat juang yg tlh dikurniakan kpd srikandi mukminah yg kak mun ceritakan.amin.Selamat berjuang..(fatimah DQ/UIA 07/08)